PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL**
Abstrak
Kepimpinan Melayu di Tanah Melayu (kini Malaysia) dapat dilihat seawal kurun keempat belas Masihi dengan tertubuhnya kesultanan Melayu di Melaka. Kepimpinan tersebut tersebar ke negeri-negeri Melayu yang lain sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.
Melihat kepada hakikat bahawa Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan, penjajah British dalam memeterai Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 membiarkan urusan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu kepada raja-raja Melayu. Sultan-sultan diberi kuasa penuh dalam hal ini walaupun terpaksa menerima nasihat residen British dalam perkara-perkara lain.
Hasil rundingan yang diketuai oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1956, British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Rentetan dari itu, satu Suruhanjaya yang dikenali dengan Suruhanjaya Reid dilantik bagi menggubal perlembagaan bagi Tanah Melayu yang merdeka. Suruhanjaya Reid dalam menggubal deraf Perlembagaan Persekutuan telah mengambil pandangan oleh banyak pihak termasuk dari wakil-wakil raja-raja Melayu. Akhirnya, Perlembagaan itu sendiri mengiktiraf kewujudan raja-raja Melayu dalam memerintah negara ini secara monarki yang mengepelai negeri-negeri dan menjadi Ketua Agam Islam.
Terdapat juga di sesetengah negeri yang mensyaratkan Menteri Besar dan Ketua Menteri terdiri dari orang Melayu dalam Perlembagaan Negeri. Banyak peruntukan-peruntukan lain yang memberi keistimewaan kepada agama Islam dan orang Melayu yang menganut agama Islam. Hak-hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu, peranan Majlis raja-raja dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan hak-hak orang Melayu telah diterima oleh semua pihak sebagai kontrak sosial.
Kertas ini cuba mengupas sejarah kepimpinan Melayu dan melihat bagaimana Perlembagaan Persekutuan itu memberi keistimewaan kepada orang-orang Melayu dalam menerajui negara walaupun pada hakikatnya, Perlembagaan itu sendiri membisu mengenai pra syarat Melayu sebagai Perdana Menteri. Kertas ini mencadangkan supaya satu pindaan Perelembagaan diusul di Parlimen bagi memasukkan pra syarat tersebut kalau mahu melihat kepimpinan Melayu berterusan di pribumi ini.
Abstrak
Kepimpinan Melayu di Tanah Melayu (kini Malaysia) dapat dilihat seawal kurun keempat belas Masihi dengan tertubuhnya kesultanan Melayu di Melaka. Kepimpinan tersebut tersebar ke negeri-negeri Melayu yang lain sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.
Melihat kepada hakikat bahawa Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan, penjajah British dalam memeterai Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 membiarkan urusan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu kepada raja-raja Melayu. Sultan-sultan diberi kuasa penuh dalam hal ini walaupun terpaksa menerima nasihat residen British dalam perkara-perkara lain.
Hasil rundingan yang diketuai oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1956, British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Rentetan dari itu, satu Suruhanjaya yang dikenali dengan Suruhanjaya Reid dilantik bagi menggubal perlembagaan bagi Tanah Melayu yang merdeka. Suruhanjaya Reid dalam menggubal deraf Perlembagaan Persekutuan telah mengambil pandangan oleh banyak pihak termasuk dari wakil-wakil raja-raja Melayu. Akhirnya, Perlembagaan itu sendiri mengiktiraf kewujudan raja-raja Melayu dalam memerintah negara ini secara monarki yang mengepelai negeri-negeri dan menjadi Ketua Agam Islam.
Terdapat juga di sesetengah negeri yang mensyaratkan Menteri Besar dan Ketua Menteri terdiri dari orang Melayu dalam Perlembagaan Negeri. Banyak peruntukan-peruntukan lain yang memberi keistimewaan kepada agama Islam dan orang Melayu yang menganut agama Islam. Hak-hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu, peranan Majlis raja-raja dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan hak-hak orang Melayu telah diterima oleh semua pihak sebagai kontrak sosial.
Kertas ini cuba mengupas sejarah kepimpinan Melayu dan melihat bagaimana Perlembagaan Persekutuan itu memberi keistimewaan kepada orang-orang Melayu dalam menerajui negara walaupun pada hakikatnya, Perlembagaan itu sendiri membisu mengenai pra syarat Melayu sebagai Perdana Menteri. Kertas ini mencadangkan supaya satu pindaan Perelembagaan diusul di Parlimen bagi memasukkan pra syarat tersebut kalau mahu melihat kepimpinan Melayu berterusan di pribumi ini.
Pendahuluan
Kepimpinan Sultan Melayu bermula di Melaka apabila Parameswara memeluk agama Islam. Melaka yang menjadi pusat perdagangan serantau ketika itu, bukan sahaja menerima saudagar-saudagar Islam, malah terdapat mereka yang berkahwin dengan gadis tempatan.
Hasilnya, agama Islam yang dianuti oleh penduduk Melaka akhirnya telah mengubah landskap budaya dan perundangan tempatan. Undang-undang Islam telah laksanakan di Melaka, yang kemudiannya dibawa ke negeri-negeri lain. Meskipun begitu, undang-undang tersebut bukanlah sepenuhnya Islam. Apa yang terdapat pada masa itu, ialah kombinasi undang-undang Islam dan adat Melayu yang dapat dilihat dalam Kanun Hukum Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Undang-undang ini telah mempengaruhi undang-undang di negeri lain seperti Undang-undang Johor, Pahang, Kedah dan Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak.
Berlaku beberapa siri penjajahan ke atas Tanah Melayu. Namun penjajahan oleh British telah merubah landskap kepimpinan. Melaui Perjanjian Pangkor pada 1874, pihak Britih telah memaksa raja-raja Melayu untuk menerima nasihat Penasihat British dalam semua perkara kecuali dalam adat istiadat Melayu dan agama Islam. Ini berlarutan sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Raja berperlembagaan merupakan sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia selepas merdeka. Malangnya, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak menjelaskan maksud sebenar Raja berperlembagaan. Ini kerana, kalau mengikut konsep tersebut, Raja-raja ’wajib’ mendengar nasihat Perdana Menteri/Menteri Besar. Namun, dalam hal-hal tertentu baginda nampaknya boleh membuat keputusan mengikut budibicaranya.Ini dapat dilihat dalam persoalan perlantikan Perdana Menteri/Menteri Besar. Malah YDA boleh tidak mendengar nasihat Perdana Menteri untuk mengisytihar darurat dan pembubaran Parlimen (Sultan/Raja bagi Dewan Undangan Negeri).
Kepimpinan kesultanan Melayu sangat siknifikan bagi rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu institusi yang disanjung tinggi dan memain peranan besar dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Disyaratkan seseorang sultan atau raja itu mesti seorang Melayu dan secara automatik mesti menganut agama Islam.
Sultan-sultan dan raja-raja merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong (YDA) bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Tanggungjawab Sultan-sultan untuk memelihara agama Islam dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu sentiasa ditekankan dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru itu, Sultan-sultan dan Yang di-Pertuan Agong, apabila mengangkat sumpah jawatan berikrar memelihara kesucian agama Islam itu sendiri.
Secara umumnya, bagi sembilan negeri yang mempunyai Sultan/Raja, undang-undang tubuh negeri mensyaratkan jawatan Menteri Besar mestilah menganut agama Islam. Namun, Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan syarat sedemikian bagi jawatan Perdana Menteri. Apakah ini sengaja dibiarkan begitu sahaja oleh Suruhanjaya Reid supaya Malaysia pada satu hari nanti akan diketuai oleh Perdana Menteri bukan Melayu/Islam?
Raja Berpelembagaan
Hakikat bahawa Sultan-sultan/YDA mempunyai kuasa mutlak dalam semua urusan negeri/negara hanyalah wujud dalam lipatan sejarah. Apabila British menjajah negara ini, mereka telah mengecilkan kuasa sultan-sultan dengan hanya berperanan dalam skop dan bidang yang kecil. Perkara-perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu diletakkan terus kepada kekeuasaan sultan-sultan. Hal-hal lain telah diambil peranan oleh British melalui penasihat British yang bergelar Residen. Orang-orang Melayu ”terpaksa” menerima hakikat bahawa kuasa sultan-sultan mereka telah dikecilkan.
Apabila Tanah Melayu merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, Perlembagaan Perseketuan hasil kerja oleh Suruhanjaya Reid sekali lagi melihat bagaimana Perlembagaan itu mengekalkan kuasa yang kecil itu kepada sultan-sultan. Hak mentadbir negara diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri. Sultan-sultan hanya diberi kuasa dalam perkara-perkara dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu serta yang berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu termasuk bahasa Melayu, hak reservasi orang Melayu dan hak reservasi kota bagi orang-orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak.
Dalam menjalankan tugas, secara Perlembagaan, Sultan-sultan dikehendaki mendengar nasihat Perdana Menteri/Menteri Besar/Ketua Menteri. Sultan-sultan tidak diberi kuasa secara Perlembagaan menjalankan tugas sesuka hati. Ini dapat dilihat dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan di mana YDA dikehendaki bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan bagi Sultan-sultan dan Raja-raja atas nasihat Menteri Besar/Ketua Menteri, kecuali dalam perkara-perkara yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Walau bagaimanapun, YDA/ Sultan-sultan boleh menggunakan budibicara baginda, melantik Perdana Menteri/ Menteri Besar/Ketua Menteri.Meskipun begitu, dalam melantik seseorang Perdana Menteri/Menteri Besar/Ketua Menteri, YDA/Sultan-sultan hendaklah memastikan individu yang dilantik itu mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat/Dewan Undangan Negeri.
YDA/Sultan-sultan juga mempunyai kuasa budibicara dalam perkara pembubaran Parlimen/DUN. Hak ini tidak perlu diikut walaupun dinasihat oleh Perdana Menteri/Menteri Besar/Ketua Menteri. Ini adalah kuasa proragatif Sultan-sultan. Ini dapat dilihat di Kelantan pada tahun 1960an di mana Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Dato’ Nasir kalah dalam undi tidak percaya di DUN Kelantan. Hasilnya, Allahyarham mengadap Sultan Kelantan bagi memohon pembubaran DUN Kelantan. Namun ia ditolak oleh Sultan Kelantan. Keadaan menjadi kecoh dan huru hara sehingga atas nasihat Perdana Menteri, YDA mengisytihar darurat di Kelantan.
Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut, YDA setelah berpuas hati bahawa keselamatan, kehidupan ekonomi rakyat dan ketenteraman awam tergugat, boleh membuat perisytiharan darurat. Namun perisytiharan ini tidak semestinya mengikut nasihat Perdana Menteri. Baginda boleh menolak permintaan tersebut. Ini menampakkan bahawa baginda mempunyai kuasa besar dalam perkara tersebut.
Majlis Raja-raja00
Persidangan Majlis Raja-raja (MRR) yang pertama kali berlangsung pada 1897 dengan nama Persidangan Durbar. Pada awalnya, persidangan itu dianggap sebagai pertemuan tidak rasmi Raja-raja Melayu tetapi dengan perkembangan di Tanah Melayu semasa pemerintahan British ia diteruskan pada tahun 1903, 1927, 1932 dan 1933. Persidangan tersebut merupakan platform penting bagi Raja-raja Melayu meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pentadbiran British. Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, Persidangan itu memainkan peranan penting dalam membentuk corak pemerintahan pasca merdeka.
Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan mengesahkan penubuhan MRR yang terdiri dari kesemua sembilan sultan-sultan dan Yang di-Pertua Negeri-negeri (YDN). Kecuali dalam perkara pemilihan dan pelucutan YDA dan Timbalan YDA yang hanya dikhususkan untuk sultan-sultan dan raja, YDN tidak termasuk dalam korum pemilihan dan pelucutan tersebut. Ini adalah hak prerogatif sultan-sultan dan raja-raja Melayu. Ini kerana, YDN itu sendiri adalah dilantik oleh YDA atas nasihat Perdana Menteri dan pengesahan MRR.
Selain berperanan dalam pemilihan dan pelucutan YDA dan Timbalan YDA, fungsi MRR sangat signifikan dan penting. Perlantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Ketua Audit Negara, Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan hendaklah terlebih dahulu dirujuk dan diputuskan oleh MRR.
Di samping itu, pindaan terhadap perkara-perkara penting yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Bahasa Kebangsaan, hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak dan kedudukan raja-raja itu sendiri hendaklah mendapat perkenan MRR terlebih dahulu. Ini termasuk memperkenankan atau tidak perlanjutan upacara-upacara keagamaan dalam Wilayah Persekutuan secara keseluruhan, perlantikan ahli-ahli dalam Mahkamah Khas dan memberi keampunan kepada pesalah-pesalah yang disabitkan oleh Mahkamah.
Peranan MRR dalam perkara-perkara yang dibincangkan di atas adalah bertujuan untuk menjaga integeriti agar ianya telus dan seimbang mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah demi untuk menjaga keharmonian rakyat keseluruhannya.
MRR juga turut membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan hak-ehwal agama Islam. Ini termasuk penyelerasan undang-undang dan penubuhan jabatan-jabatan tertentu di peringkat Persekutuan seperti JAKIM, JAWHAR dan lain-lain.
Peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan
Sebenarnya, Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki sekarang digubal oleh satu Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dari United Kingdom dengan ahli-ahli lain terdiri dari Sir Iver Jeannings dari United Kingdom, Justice Abdul Hamid dari Pakistan, Sir William McKell dari Australia dan B Malik dari India. Malangnya, tiada seorang ahli Suruhanjaya tersebut terdiri dari orang tempatan.
Pada asalnya, peruntukan Islam sebagai agama negara tidak terdapat dalam deraf awal Perelembagaan. Hanya Justice Abdul Hamid dari Pakistan membangkitkan persoalan itu dalam lampiran Laporan Suruhanjaya itu (Kertas Putih). Selepas dari itu, Parti Perikatan mencadangkan supaya satu peruntukan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam perlembagaan tanpa sedikit pun menyisihkan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka.
Pihak Raja-raja pada awalnya agak keberatan menerima peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, bimbang baki kuasa yang ada dalam tangan mereka iaitu agama Islam dan adat Melayu akan diserahkan kepada kerajaan pusat. Akhirnya, setelah pihak Perikatan meyakinkan kedudukan sebenar, Raja-raja Melayu telah bersetuju menerima kemasukan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, Kertas Putih telah dikeluarkan bagi maksud itu. Justeru, Perkara 3(1) menyatakan “Ugama Islam adalah ugama bagi Persukutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagaian Persekutuan”. Peruntukan seperti ini diberi penekanan sekali lagi dalam Perkara 11(1) yang berbunyi “tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya”. Dengan adanya dua peruntukan penting ini, Perlembagaan memberi jaminan hak kebebasan beragama kepada kepada semua penganut agama. Tetapi, kebebasan beragama tidaklah bersifat mutlak. Sebagai contohnya, dalam fasal (4) Perkara 11 memberi kuasa kepada Parlimen dan Badan-badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam. Di samping itu, Perkara 11 (5) meletakkan syarat bahawa kebebasan itu tidak menyalahi ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak.
Sebenarnya, Islam mempunyai kedudukan yang begitu tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini dapat dijelaskan dalam kes Meor Atiqulrahman dll lwn Fatimah Bte Sihi dll [2000] 5 MLJ 375 di manaYA Hakim Dato’ Mohd Noor Abdullah dalam memutuskan kes pemakaian serban oleh tiga murid sekolah mengatakan bahawa menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan ad-deen, satu cara hidup dan bukan hanya khusus untuk upacara-upacara rasmi sahaja. Katanya lagi, “ugama Islam adalah ugama utama, mengatasi agama-agama lain di Malaysia. Status agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain”.
Dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dll [2004] 2 MLJ 119 YA Hakim Dato’ Faiza Tamby Chik memutuskan bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan itu sendiri menempatkan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama utama dan dominan mengatasi ugama-ugama lain. Justeru itu, adalah menjadi tanggugjawab Kerajaan Persekutuan memelihara, menjaga dan mempromosikan Islam. Memandangkan kedudukan khas yang diberikan kepada agama Islam, dan kaitan antara Islam dan Melayu, YA Hakim telah menolak permohonan Lina Joy untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam, justeru untuk memelihara agama Islam.
Adakah Malaysia Sebuah Negara Sekular?
Perbahasan mengenai sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau sekular sangat siknifikan apabila membahaskan kepimpinan Melayu. Pemimpin Melayu tidak boleh sama sekali menjadi pemimpin dalam sebuah negara sekular yang majoriti penduduknya orang Melayu. Ini kerana takrifan Perkara 160 mendefinisikan bahawa seseorang Melayu itu mestilah beragama Islam dan mengamalkan adat Melayu. Perisytiharan Malaysia sebuah negara sekular akan membawa padah kepada generasi bangsa Melayu yang akan mewarisi bumi ini. Kedudukan politik di Malaysia tidak sama sekali dengan Turki. Meskipun Perlembagaan negara tersebut secara jelas menyatakan negaranya adalah sekular, majoriti penduduknya masih didominasi oleh orang Islam, dan sudah tentunya kepimpinannya diterajui oleh orang Islam.
Melihat kepada laporan Kertas Putih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid, peruntukan Perkara 3 1(1) tidak sama sekali mengenepikan status Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Tetapi peruntukan tersebut tidak wujud sama sekali dalam perlembagan itu sendiri. Ini berbeza dengan negara Turki dan India yang secara khusus memperuntukkan dalam Perlembagaan masing-masing bahawa negara mereka adalah sekular.
Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama ada menjelaskan dalam satu sesi Parlimen bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara. Meskipun begitu, pandangan Almarhum boleh dipertikaikan kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak sama sekali menyebut negara ini sebagai negara sekular. Malah peruntukan ugama Islam sebagai agama Persekutuan lebih memihak bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara Islam.
Mungkin ada sesetengah peguam dan pengamal undang-undang yang mengatakan bahawa kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55 mengiyakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan ini mengesahkan bahawa negara ini adalah negara sekular. Ini kerana YAA Hakim Tuan Salleh Abbas (ketika itu) berpendapat bahawa ugama Islam bukanlah hanya semata-mata peribadatan khusus tetapi meliputi satu cara hidup yang merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada dalam bentuk individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman, namun peruntukan Perkara 3(1) hanyalah bersifat peribadatan dan upacara rasmi sahaja. Tetapi menurut Prof. Dr.Aziz Bari, keputusan kes ini sebenarnya tidak mencerminkan kedudukan sebenar Islam seperti mana yang dibuat dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih. Keputusan Che Omar tidak boleh sama sekali mempertikaikan perihal kesahihan undang-undang. Ia hanyalah menghadkan amalan agama Islam seperti mana yang termaktub. Keputusan kes ini tidak sama sekali merendahkan kedudukan ugama Islam itu sendiri. Ini kerana perayu mempertikaikan sama ada undang-undang yang wujud dalam negara ini, dalam hal ini hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, justeru undang-undang Islam tidak menghukum orang yang mengedar dadah dengan hukuman mati.
Mungkin kerana tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini adalah negara Islam mengundang perdebatan sekarang, malah ia telah lama dibangkitkan semenjak dari zaman Almarhum Tunku lagi. Mungkin kerana ketiadaan peruntukan khusus ini jugalah yang menyebabkan DAP dan PAS mempertikaikan persytiharan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 2001. Tetapi tidak juga tepat bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara sekular dengan peruntukan-peruntukan lain yang memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam.
Persoalan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau tidak sekali lagi diperbahaskan pada 4 Ogos 2007. Perdana Menteri, Dato” Abdullah Ahmad Badawi menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Dalam nada yang sama juga Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia juga bukanlah sebuah negara teokratik tetapi berpegang kepada prinsip kerajaan demokrasi berparlimen (Parliamentary democracy). Perdana Menteri juga mahu supaya polemik perdebatan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau Islam dihentikan. Ini kerana, ia tidak akan membawa kepada sebarang faedah kepada rakyat. Malah, ia mungkin boleh membawa kepada pergaduhan sehingga membawa kepada kebencian kepada sesuatu agama dan bangsa.
Pada 17 Julai 2007, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan oleh seorang wartawan asing bahawa Malaysia sebuah negara sekular. Parti-parti pembangkang sama dari DAP atau PAS enggan menganggap Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Malah terdapat sesetengah ahli politik UMNO seperti Dato’ Zaid Ibrahim menyokong pandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular kalau dilihat dari perspektif Perlembagaan Persekutuan. Lebih-lebih lagi melihat kepada laporan oleh Suruhanjaya Reid itu sendiri.Malah tidak ketinggalam para sarjana undang-undang seperti Prof. Madya Dr. Aziz Sharom yang menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Malangnya, pendekatan ini turut dikongsi oleh Majlis Peguam.
Mungkin kerana peruntukan dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu” membawa kepada kefahaman sedemikian rupa. Apakah dengan peruntukan sedemikian menafikan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam dan meletakkannya sebagai sekular? Menurut Prof. Abdul Aziz Bari, apabila mentafsirkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan, ia tidak boleh ditafsirkan secara sempit dan berasingan dari peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan itu sendiri.
Hujah yang menyatakan bahawa Malaysia sebuah negera sekular adalah kurang tepat. Ini kerana, terdapat banyak peruntukan lain dalam Perlembagaan itu yang memberi keistimewaan kepada agama Islam. Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam, menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara sekular.
Hujah lain ialah lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong setiap kali ditabalkan antara lain adalah untuk ”memeliharakan setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri”. Ini mencerminkan bahawa agama Islam diberi tempat yang tinggi.
Dari sudut sejarah, Tanah Melayu telah dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai sebuah negara Islam melihat kepada undang-undang yang dilaksanakan semasa itu. Sebelum kedatangan penjajah Belanda dan British, undang-undang yang terpakai adalah meliputi undang-undang Islam dan adat. Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang pokok telah mempengaruhi undang-undang di negeri lain, yang banyak mengandungi peraturan dan hukuman yang berlandaskan agama Islam dan adat Melayu. Kedatangan Belanda di Melaka dan seterusnya menjajahi seluruh Tanah Melayu tidak sedikit pun memberi kesan kepada aspek undang-undang yang terpakai semasa itu. Hanya dengan kedatangan British, undang-undang Islam sedikit demi sedikit telah diketepikan dan diganti dengan undang-undang Inggeris. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957, tiada satu perisytiharan dibuat mengatakan bahawa negara ini adalah negara Islam. Perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hanyalah dibuat 44 tahun kemudian oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 September 2001.
Dua Professor Undang-undang Perlembagaan negara ini, iaitu Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi (UiTM) dan Prof. Dr. Aziz Bari (UIAM) berpendapat bahawa dalam sesebuah negara sekular, peruntukan agama rasmi bagi negara lazimnya tidak dimasukkan dalam perlembagaan negara tersebut dan tiada peruntukan dan bantuan diberi bagi aktiviti-aktiviti agama. Tetapi perkataan ‘agama’ diulang tidak kurang dari 20 kali dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, bagaimana boleh dikatakan Malaysia sebuah negara sekular? Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim juga tidak dapat menerima pandangan yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular. Menurut Almarhum, perkataan ‘agama’ dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan seharusnya tidak disempitkan hanya untuk upacara-upacara rasmi keagamaan sahaja tetapi seharusnya meliputi undang-undang utama negara.
Walaupun begitu, pandangan Prof. Shad Saleem Faruqi yang menyatakan bahawa kedudukan Malaysia yang agak unik. Beliau menganggap Malaysia sebuah negara hibrid (hybrid). Dengan mengkelaskan status sedemikian, Malaysia tidak boleh sama sekali dianggap sebagai negara sekular. Masakan dalam negara sekular boleh memberi bantuan pembinaan masjid-masjid, kuil-kuil dan gereja. Ini yang membezakan Malaysia dari negara-negara lain. Walaupun agama Islam merupakan agama Persekutuan dan dianggap dominan justeru kerana orang Melayu itu adalah orang Islam (mengambil definisi orang Melayu dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan), ia tidak sama sekali menafi hak orang bukan Islam.
Kepimpinan Melayu: Adakah Ia Mampu Bertahan?
Melihat kepada senario politik semasa yang telah diterjemahkan dalam keputusan Pilihanraya Umum ke-12 tanggal 8 Mac 2008 yang lalu, ia menggambarkan bahawa Parti Barisan Nasional (BN) berada dalamn keadaan yang amat getir. Dengan majoriti mudah 140 kerusi dari 220 kerusi, pembangkang menguasai 82 kerusi di Dewan Rakyat. Malah, kecuali Kelantan, empat negeri lain iaitu Kedah, Pualau Pinang, Perak dan Selangor turut jatuh kepada pembangkang. Kalau dilihat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, majoriti kerusi yang dimenangi juga dikuasai oleh pembangkang.
Termasuk parti pembangkang, hanya dua parti iaitu UMNO dan PAS yang didominasi oleh orang Melayu. Jatuh bangun kepimpinan Melayu di Malaysia sangat bergantung kepada dua parti ini. Namun, dari segi realitinya, gabungan dua parti ini sahaja pun belum cukup untuk memerintah Malaysia. Dengan adanya pula Parti Keadilan yang ahli-ahlinya terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, agak sukar meramalkan bahawa parti tersebut akan mengekalkan kepimpinan Melayu. Namun, secara konvensi, semenjak 51 tahun merdeka negara ini masih dikuasi oleh parti Melayu. Ini kerana dari segi jumlah bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dikuasai oleh orang Melayu masih dominan sehingga kini. Mengambilkira majoriti penduduk Melayu yang masih menguasai 60% penduduk Malaysia, kepimpinan Melayu boleh bertahan buat masa sekarang. Sebaliknya, masalah hanya akan timbul sekiranya orang Melayu juga turut memberi undi kepada pemimpin bukan Melayu atau majoriti penduduk Melayu berkurangan di masa depan.
Perkara 43 (2) (a) memperuntukkan bahawa YDA hendaklah melantik seorang Perdana Menteri yang pada tanggapan baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. Berbanding dengan YDA yang sudah semestinya seorang Melayu/Islam justeru kerana Sultan/Raja mestilah seorang Melayu/Islam, pra syarat ini tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketiadaan peruntukan ini sangat membimbangkan kerana sesiapapun tanpa mengira agama dan bangsa boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. Kepimpinan negara yang diterajui oleh orang Melayu hanya berpijak di atas dasar konvensi, dan tidak dari sudut Perlembagaan. Sekiranya timbul sebarang pertikaian undang-undang, peruntukan dalam Perlembagaan akan mengatasi konvensi.
Kesimpulan
Kepimpinan negara yang dikuasai oleh orang Melayu sejak pemerintahan kesultanan Melaka, nampaknya masih bertahan sehingga hari ini. Kita amat bernasib baik kerana, kewujudan Sultan/Raja kekal walaupun negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 2008. Walaupun Sultan/Raja sebagai ketua negeri dan YDA sebagai ketua negara, kuasa sebenar terletak ke atas tangan badan eksekutif: Kabinet di peringkat Persekutuan, dan EXCO di peringkat Negeri. Kuasa Eksekutif mempunyai kuasa yang lebih besar berbanding dengan dua badan lagi iaitu kehakiman dan perundangan.
Justeru itu, jawatan pemimpin eksekutif tertinggi negara sangat penting, dan seharusnya dipegang oleh orang Melayu. Melihat kepada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan itu sendiri yang banyak memberi keistimewaan kepada orang Melayu termasuk hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam, Majlis Raja-raja, bahasa Melayu dan lain-lain, kepimpinan negara yang diterajui oleh orang Melayu mestilah dikekalkan.
Maka, satu pindaan kepada Perkara 43 (2) (a) hendaklah dibuat dengan memasukkan pra syarat Melayu dalam menjawat jawatan Perdana Menteri seperti yang terdapat dalam undang-undang tubuh sembilan negeri Melayu. Ini memang sukar dilakukan terutama dalam keadaan sekarang. Tetapi kita harus mempunyai keazaman untuk melakukannya apabila tiba masanya yang sesuai untuk berbuat demikian.
Ini selari dengan kehendak bahawa orang Melayu adalah menganut agama Islam. Melihat kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam di satu tempat yang istimewa dan dengan sendirinya agama Islam itu dijadikan agama Persekutuan. Tidak ada agama lain disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Hanya orang Melayu/Islam sahaja yang akan menjaga agama Islam di negara ini. Justeru itu, kepimpinan negara harus diwarisi oleh orang Melayu/Islam selagai ada bulan dan matahari.
Rujukan
Mohamed Azam Mohamed Adil, ”Raja-raja Melayu Benteng Akhir Keharmonian Kaum”, VISI, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jun 2008.
Mohamed Azam Mohamed Adil, ”Perlembagaan Persekutuan: Malaysia Bukan Negara Sekular”, VISI, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), April 2006.
Mohamed Azam Mohamed Adil, ”Law of Apostasy and Freedom of Religion in Malaysia, Asian Journal of Comparative Law, Vol. 2 (2007).
Raja Nazrin Shah, The Monarchy in Contemporary Malaysia, Institute of Southeast Asian Studies, Singapore, 2004.
Abdul Aziz Bari, “Institusi Ketua Negara, Ketua Negeri dan Majlis Raja-Raja” dalam Ahmad Ibrahim et al, Perkembangan Undang-Undang Perlembagaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999.
Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Malaysia: Asas dan Masalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001.
Abdul Aziz Bari, Cabinet Principles in Malaysia: The Law and Practice, Edisi Kedua, The Other Press, Kuala Lumpur, 2002.
Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002
Abdul Aziz Bari, Malaysian Constitution: A Critical Introduction, The Other Press, Kuala Lumpur, 2003.
Abdul Aziz Bari, Islam dalam Perlembagaan Malaysia, Intel Multimedia & Publication, Petaling Jaya, 2005.
Abdul Aziz Bari, Politik Perlembagaan, Institut Kajian Dasar & Konrad Adenauer Foundation, Kuala Lumpur, 2006.
Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Malaysia: Teori dan Praktis, Arah Pendidikan Publications, Shah Alam, 2008.
Shad Saleem Faruqi, Document of Destiny The Constitution of the Federation of Malaysia, Star Publications, Petaling Jaya, 2008.
Shad Saleem Faruqi, Islam, International Law and The War Against Terrorism, UPENA, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, 2006.
Ibrahim Abu Shah (ed.)Islam, Democracy and Good Governance – The Malaysian Experience, UPENA, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, 2004.
Vidhu Verma, Malaysia State and Civil Society in Transition, Strategic Information Research development (SIRD), Petaling Jaya, 2004.
Vigina Hooker, “Malaysia Still “Islam and Politics” But Now Enmeshed in the Global Web” dalam Vigina Hooker & Norani Othman, Malaysia Islam Society and Politics, Institute of Southeast Asian Studies, Singapore, 2003.
Jayum A Jawan, Malaysian Politics & Government, Cetakan Keempat, Karisma Publications, Shah Alam, 2007.
Abdul Razak Baginda & Peter Schier, Is Malaysia an Islamic State? Secularism and Theocracy – A Study of the Malaysian Constitution, Malaysia Strategic Research Centre & Konrad-Adenauer-Foundation, Kuala Lumpur, tt.
*Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Kepimpinan Melayu, Anjuran Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQA), Uinversiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, 18-19 November 2008.
** Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, B. Shari’a (Hons), LLM, PhD (SOAS, London) adalah Koordinator Unit Minor dan Elektif, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Alamat e-mel: mazamadil@hotmail.com
Mohamed Azam Mohamed Adil, ”Raja-raja Melayu Benteng Akhir Keharmonian Kaum”, VISI, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jun 2008.
Mohamed Azam Mohamed Adil, ”Perlembagaan Persekutuan: Malaysia Bukan Negara Sekular”, VISI, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), April 2006.
Mohamed Azam Mohamed Adil, ”Law of Apostasy and Freedom of Religion in Malaysia, Asian Journal of Comparative Law, Vol. 2 (2007).
Raja Nazrin Shah, The Monarchy in Contemporary Malaysia, Institute of Southeast Asian Studies, Singapore, 2004.
Abdul Aziz Bari, “Institusi Ketua Negara, Ketua Negeri dan Majlis Raja-Raja” dalam Ahmad Ibrahim et al, Perkembangan Undang-Undang Perlembagaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999.
Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Malaysia: Asas dan Masalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001.
Abdul Aziz Bari, Cabinet Principles in Malaysia: The Law and Practice, Edisi Kedua, The Other Press, Kuala Lumpur, 2002.
Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002
Abdul Aziz Bari, Malaysian Constitution: A Critical Introduction, The Other Press, Kuala Lumpur, 2003.
Abdul Aziz Bari, Islam dalam Perlembagaan Malaysia, Intel Multimedia & Publication, Petaling Jaya, 2005.
Abdul Aziz Bari, Politik Perlembagaan, Institut Kajian Dasar & Konrad Adenauer Foundation, Kuala Lumpur, 2006.
Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Malaysia: Teori dan Praktis, Arah Pendidikan Publications, Shah Alam, 2008.
Shad Saleem Faruqi, Document of Destiny The Constitution of the Federation of Malaysia, Star Publications, Petaling Jaya, 2008.
Shad Saleem Faruqi, Islam, International Law and The War Against Terrorism, UPENA, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, 2006.
Ibrahim Abu Shah (ed.)Islam, Democracy and Good Governance – The Malaysian Experience, UPENA, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, 2004.
Vidhu Verma, Malaysia State and Civil Society in Transition, Strategic Information Research development (SIRD), Petaling Jaya, 2004.
Vigina Hooker, “Malaysia Still “Islam and Politics” But Now Enmeshed in the Global Web” dalam Vigina Hooker & Norani Othman, Malaysia Islam Society and Politics, Institute of Southeast Asian Studies, Singapore, 2003.
Jayum A Jawan, Malaysian Politics & Government, Cetakan Keempat, Karisma Publications, Shah Alam, 2007.
Abdul Razak Baginda & Peter Schier, Is Malaysia an Islamic State? Secularism and Theocracy – A Study of the Malaysian Constitution, Malaysia Strategic Research Centre & Konrad-Adenauer-Foundation, Kuala Lumpur, tt.
*Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Kepimpinan Melayu, Anjuran Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQA), Uinversiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, 18-19 November 2008.
** Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, B. Shari’a (Hons), LLM, PhD (SOAS, London) adalah Koordinator Unit Minor dan Elektif, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Alamat e-mel: mazamadil@hotmail.com