Monday, 30 March 2009

ARTIKEL 11(4): KENAPA EMPAT NEGERI MASIH KETINGGALAN?

Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia
Shah Alam


Berita utama dalam Utusan Malaysia 29 September 2008 menggambarkan bagaimana sehingga kini empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan masih tidak mempunyai undang-undang mengenai pengawalan pengembangan agama bukan Islam kepada orang-orang Islam walaupun dua tahun lalu (27 Ogos 2006), akhbar yang sama juga melalui bekas wartawannya Noor Azam Shairi membangkitkan masalah yang sama. Keluhan kali ini datang dari Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang dikatakan kesal dengan ‘kelembapan’ empat negeri ini menggubal undang-undang yang sangat penting bagi menjamin kesucian agama Islam.

Dalam berita dua tahun yang lalu, Noor Azam Shairi melaporkan bahawa Perdan Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada mengarah negeri-negeri tersebut supaya menyegerakan penggubalan undang-undang ini. Malangnya, sehingga kini kecuali Wilayah Persekutuan yang dikatakan ‘dalam proses menggubal’ undang-undang tersebut, tiga negeri lain nampaknya mengambil sikap membisu. Apakah arahan Perdana Menteri itu seperti ‘anjing menyalak bukit? ‘

Apa yang menyedihkan lagi pula ialah kecuali negeri Pahang, negeri-negeri lain yang sudah menggubal undang-undang pengawalan pengembangan agama bukan Islam, nampaknya, masih tidak menguatkuasakannya lagi. Ini sepatutnya tidak berlaku. Kenapa undang-undang yang sudah cantik digubal dibiarkan begitu sahaja sedangkan ianya sangat penting. Undang-undang ini adalah bertujuan untuk menyelamat akidah orang Islam dari diganggu gugat oleh anasir-anasir agama bukan Islam. Golongan-golongan pendakwah agama bukan Islam semacam tahu kelemahan yang sedia ada. Maka tidak hairanlah kedengaran berita-berita bahawa terdapat pendakwahan oleh pendakwah-pendakwah bukan Islam terhadap penganut agama Islam melalui risalah dan buku-buku yang mengaitkan agama mereka atas nama agama Islam.

Seharusnya tindakan undang-undang diambil di negeri-negeri yang sudah mempunyai undang-undang tersebut. Negeri-negeri lain hendaklah mengikut jejak langkah negeri Pahang yang berani menguatkuasakan undang-undang tersebut. Satu-satunya kes yang pernah didakwa di bawah undang-undang pengawalan pengembangan agama bukan Islam ialah dalam kes PP lwn Krishnan a/l Muthu yang diputuskan di Mahkamah Majistret. Dalam kes ini seorang wanita Melayu telah berkenalan dan dan bercinta dengan Orang Kena Tuduh (OKT) selama tujuh tahun. OKT mempunyai seorang isteri yang bernama Marimuthu a/p Subramaniam. Apabila mangsa tidak mempunyai tempat tinggal, beliau telah memohon kebenaran OKT dan isteri untuk tinggal bersama. Berlaku beberapa siri pertengkaran antara OKT dan mangsa sehingga membawa kepada pergaduhan fizikal. Mangsa pernah diugut supaya keluar dari agama Islam dan memeluk agama Hindu. Mangsa juga pernah disuruh bersumpah dengan tokong Hindu dan pernah dilarang dari mendirikan solat. Dua pertuduhan telah dibawa ke hadapan Majestret, dan OKT telah dijatuhi hukuman di bawah seksyen 325 Kanun Kesiksaan di mana beliau telah dikenakan denda sebanyak RM2,000.00, dan seksyen 4(2)(i) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989 di mana OKT telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,500.00 dan dipenjara selama 20 hari.

Buat masa sekarang, tidak ada jalan perundangan lain bagi membasmi gejala pendakwahan agama bukan Islam kepada orang Islam kecuali dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani pendakwahan orang bukan Islam kepada penganut agama Islam dianggap oleh mahkamah sebagai satu tindakan yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Ini dapat dijelaskan dalam kes Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lwn Jamaludin @ Yeshua Jamaludin Bin Othman, responden telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didapati menyebarkan agama Kristian kepada orang-orang Melayu. Responden telah keluar agama Islam dan memeluk agama Kristian disamping berjaya mengkristiankan enam orang Melayu. Responden telah memfailkan permohonan writ habeas corpus dengan mendakwa bahawa tahanan beliau di bawah ISA adalah berlawanan dengan hak kebebasan beragama. Mahkamah Agong (ketika itu) memutuskan bahawa arahan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri bagi menahan responden di bawah ISA atas sebab perbuatan responden berjaya mengkristiankan enam orang Melayu tidak boleh dianggap membawa kepada ancaman keselamatan negara. Lagipun, hak responden dalam menganut apa-apa agama anutan pilihannya termasuk dalam hak kebebasan beragama, suatu jaminan kukuh yang terdapat dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Keputusan ini telah dipersoalkan oleh ramai pihak kerana persoalan agama dan Melayu tidak boleh dipisahkan. Mengkristiankan orang Melayu bermakna seseorang Melayu itu sudah tidak sempurna sifat kemelayuannya.

Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh membuat undang-undang bagi maksud menyekat atau mengawal penyebaran agama-agama bukan Islam kepada penganut-penganut agama Islam. Kerana itu, hak kebebasan beragama dalam Perlembagaan seperti yang disebut dalam Perkara 11 (1) memberi kebebasan setiap indidivu untuk menganut dan mengamalkan agama mereka tetapi Perkara 11(1) ini adalah tertakluk kepada Perkara 11 (4). Justeru itu, hak kebebasan beragama termasuk penyebaran agama adalah tidak bersifat mutlak. Ini diulangi dalam Perkara 11 (5) yang menghadkan hak bebebasan beragama sekiranya ia memudharatkan ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral.

Kalau melihat kepada sejarah Perlembagaan itu sendiri, ia sudah berusia 51 tahun. Tetapi undang-undang pengawalan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam hanya mula diperkenalkan pada tahun 1981 di Kelantan dan Johor pada tahun 1991. Nampaknya, ia memakan masa 21 tahun untuk mula menggubal undang-undang sedemikian. Sekiranya kita mengambil tahun 1991 bagi negeri yang paling akhir menggubal undang-undang tersebut (sehingga sekarang), hampir 17 tahun undang-undang telah ada tetapi hanya pada tahun 2002, baru ada dakwaan di Pahang. Malang sekali perkara penting seperti ini berlaku di Malaysia yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan di mana agama Islam itu diberi tempat keistimewaan yang melebihi agama lain. Tidak ada agama lain disebut secara khusus dalam Perlembagaan kecuali agama Islam.

Penulis mencadangkan supaya pihak-pihak berwajib mengambil tindakan terhadap perkara ini secepat mungkin. Jangan tunggu sehingga ‘nasi menjadi bubur’. Alasan yang diberi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim bahawa kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan negeri berhubung dengan perkara ini adalah tidak tepat. Sayugia diingatkan bahawa empat negeri yang masih belum menggubal undang-undang mengenai pengawalan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan adalah terdiri dari negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan/raja. Sebenarnya, ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan/raja adalah Yang di Pertuan Agong. Justeru itu, pihak-pihak berwajib boleh membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis raja-raja, yang mana turut dihadiri oleh Yang di Pertua Negeri bagi empat negeri ini. Sudah tentu Yang di Pertuan Agong boleh ‘mengarah’ pihak kerajaan negeri berkenaan supaya menyegerakan penggubalan undang-undang tersebut. Adapun bagi negeri-negeri yang sudah menggubal undang-undang tersebut termasuk Kelantan yang meminda peruntukan undang-undang pengawalan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam pada tahun lalu (dengan menambah hukuman), tidak ada gunanya kalau undang-undang tersebut dikanunkan tetapi hanya tinggal pada kertas. Negeri-negeri yang sudah mempunyai undang-undang tersebut hendaklah menguatkuasakannya. Peranan Majlis raja-raja dalam hal ini sangat dialu-alukan. Baginda-baginda tuanku boleh mengarah kerajaan-kerajaan di bawah negeri-negeri masing supaya mengambil tindakan segera. Perlu diselesaikan masalah-masalah teknikal dengan segera. Persoalan bidang kuasa polis atau pegawai agama yang perlu mengambil tindakan hendaklah segera dibereskan. Melihat kepada ‘nature’ undang-undang tersebut, sudah tentulah mereka yang terlibat adalah orang bukan Islam. Mana mungkin pegawai agama mempunyai bidang kuasa mendakwa mereka. Bidang kuasa ini masih lagi terpikul di atas bahu polis, dan hanya boleh didakwa di Mahkamah Sivil. Ini kerana, dengan jelas, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini.

Sebagai kesimpulan, penulis merasa terkilan kerana perkara yang dibangkitkan ini bukanlah suatu yang baru dibahaskan. Pihak media melalui Utusan Malaysia sebagai contohnya telah cuba membincangkan isu ini semenjak dua tahun lalu, namun apakah ‘ia ditakuk yang lama?” Pihak-pihak yang berwajib hendaklah segera mengambil tindakan supaya perkara ini dapat diselesaikan. Ia juga boleh dibawa ke mesyuarat Majlis raja-raja dan seterusnya diambil tindakan dengan kadar yang segera. Penulis suka mengakhiri tulisan ini dengan peribahasa Melayu “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Postscript

Saya difahamkan bahawa Wilayah Persekutuan dalam proses penyediaan Undang-undang Pengawalan Agama. Adalah diharapkan ia akan dapat dibentang di Parlimen dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment