Thursday, 26 March 2009

KEMELUT PERLANTIKAN MENTERI BESAR PERAK DAN KEKEBALAN SULTAN

9 Februari 2009

Pendahuluan

Kewujudan institusi beraja di Malaysia dapat dilihat seawal kurun ke empat belas masihi dengan adanya pemerintahan kesultanan Melaka. Namun, ada ahli sejarah berpendapat, ianya mungkin wujud lebih awal di Perak seabad sebelum lahirnya kewujudan kesultanan Melaka.

Institusi kesultanan di Tanah Melayu sangat siknifikan bagi rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu institusi yang disanjung tinggi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Baginda Raja Melayu memain peranan besar dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

Melihat kepada perkembangan politik di Perak, sudah tentu peranan dan tanggugjawab Sultan Perak amat penting bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan kerajaan di Perak.

Raja Berpelembagaan

Yang dimaksudkan dengan Raja Berpelembagaan ialah YDA/Sultan-sultan dikehendaki mendengar nasihat Perdana Menteri/Menteri Besar. Sultan-sultan tidak diberi kuasa secara Perlembagaan menjalankan tugas sesuka hati. Ini dapat dilihat dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan di mana YDA dikehendaki bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri (dan bagi Sultan-sultan dan Raja-raja atas nasihat Menteri Besar), kecuali dalam perkara-perkara yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimapun, YDA/Sultan-sultan boleh menggunakan budibicara baginda melantik Perdana Menteri/Menteri Besar. Walau bagaimanapun, dalam melantik seseorang Perdana Menteri/Menteri Besar, YDA/Sultan-sultan hendaklah memastikan individu yang dilantik itu mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Parlimen/Dewan Undangan Negeri.

Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah terletak di bawah kuasa budibicara YDA. Ini bererti YDA tidak perlu mendengar nasihat Perdana Menteri. Kekecualian ini terpakai apabila tempoh Parlimen mencapai umur matang iaitu lima tahun. YDA tidak mempunyai budibicara lagi dalam hal ini. Tetapi selagi Parlimen belum mencapai tempoh lima tahun, budibicara ini diberi sepenuhnya kepada YDA.

Dalam insiden yang berlaku di Perak baru-baru ini, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin setelah mengetahui bahawa Pakatan Rakyat (PR) kehilangan tiga ADUNnya (2 dari PKR dan 1 dari DAP) dan menjadi ADUN bebas serta menyokong BN, memohon untuk membubarkan DUN. Namun ia tidak diperkenankan oleh Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dengan jelas memperuntukkan ”sekiranya Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN, kecuali permohonan beliau untuk membubarkan DUN diperkenankan, maka, beliau hendaklah meletak jawatan bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO)”.

Nampaknya, peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Permohonan pembubaran Parlimen/DUN adalah hak budibicara YDA/Sultan. Ini adalah mengikut undang-undang Perlembagaan (constitutional).

Paduka Seri Sultan Perak sebelum melantik Dato’ Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru sudah tentu menimbang semasak-masak peruntukan yang terdapat dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Persoalannya, kenapa Baginda tidak memberi perkenan terhadap permohonan Menteri Besar untuk membubarkan DUN supaya rakyat dapat memberi mandat baru memilih kerajaan? Soalan ini tidak perlu dijawab kerana tindakan yang dibuat oleh Baginda adalah mengikut lunas undang-undang. Baginda telah diberi kuasa menurut undang-undang untuk mengguna kuasa budibicara dalam hal ini iaitu tidak memperkenan untuk membubar DUN.

Jelas sekali, sekiranya Paduka Seri Sultan Perak memperkenankan permohonan pembubran DUN atas dasar bahawa ketiga-tiga ADUN bebas telah mengosongkan kerusi mereka. Ini seolah-olah Baginda bertindak sebagai hakim yang membuat keputusan bahawa Suruhanja Pilihanraya telah membuat kesilapan dengan tidak mengisytiharkan tiga kerusi tersebut kosong, yang mana pilihanraya kecil bagi ketiga-tiga tempat itu hendaklah dibuat dalam tempoh 60 hari.
Persoalannya sekarang ialah, bagaimana Paduka Sultan Perak berpuashati bahawa Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin telah hilang kepercayaaan majoriti ahli-ahli DUN Perak? Apakah perlu diadakan sidang DUN di mana undi tidak percaya kepadanya dilakukan?

Bagi menjawab persoalan pertama, Paduka Sultan Perak tidak mempunyai kuasa memanggil sidang tergempar DUN Perak di mana satu undi tidak percaya kepada Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin dapat dibuat. Sekiranya beliau gagal untuk mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN Perak maka dengan sendirinya beliau hendaklah meletak jawatan. Setelah itu, beliau boleh juga mengadap Paduka Sultan Perak memohon perkenan membubarkan DUN Perak. Sekali lagi kuasa budibicara ini terletak secara eksklusif ke atas Baginda. Terpulang kepada Baginda untuk memperkenankan atau tidak. Tetapi pada amalan kebiasaannya, setelah seseorang itu hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN, maka dengan cara hormatnya, seseorang itu hendaklah dengan sendirinya meletak jawatan.

Memang benar, kuasa untuk melucutkan jawatan Perdana Menteri/Menteri Besar bukan terletak ke atas YDA/Sultan-sultan. Tetapi Perdana Menteri/Menteri Besar hendaklah dengan sendirinya meletak jawatan setelah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat/DUN. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, maka Speaker Dewan Rakyat/DUN mempunyai kuasa sepenuhnya ’menghalau’ beliau dari Dewan Rakyat/DUN.

Menurut Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, tindakan oleh YDA/Sultan-sultan hendaklah tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Tambahan pula, Suruhanjaya Reid meminta YDA melihat kepada pengalaman dan amalan-amalan negara-negara Komanwel yang lain.

Sekiranya, Baginda Sultan Perak berkenan terhadap permohonan pembubaran DUN, tindakan Baginda seolah-olah menampakkan menyebelahi PR. Memandangkan beliau hendaklah bertindak sebagai non-partisan, apabila Baginda berpuas hati bahawa Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN Perak sebagai Menteri Besar, maka Baginda boleh melantik Menteri Besar yang baru dari pihak yang satu lagi (BN). Ini bukanlah bermaksud bahawa Baginda memihak kepada BN. Seandainya perkara yang sama berlaku ke atas BN, nescaya tindakan yang sama akan dilakukan oleh Baginda.

Ada juga pihak-pihak yang meramalkan bahawa sekiranya keadaan kucar kacir berterusan di Negeri Perak, kemungkinan atas nasihat Perdana Menteri YDA boleh mengisytuharkan darurat di Perak. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa penuh dalam hal ini kepada YDA sama ada mahu mendengar nasihat Perdana Menteri atau tidak. Sekali lagi kuasa budubicara diberikan secara khusus kepada YDA. Kuasa darurat tidak diberi kepada Perdana Menteri bimbang ia akan dislahgunakan oleh pihak Eksekutif.

Sebenarnya, Negeri Perak bukanlah negeri pertama yang melalui krisis sebegini. Dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli (1966), Mahkamah memutuskan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sarawak hanya mempunyai kuasa melucutkan jawatan Ketua Menteri sekiranya Ketua Menteri tidak mendapat undi majoriti kepercayaan ahli-ahli DUN Sarawak.

Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak diikuti di Sabah dalam kes Datuk Amir Kahar Tun Mustapha lwn Tun Mohd Said Keruak Dll (1995). Dalam kes ini, Mahkamah Tinggi Sabah memutuskan bahawa untuk memastikan bahawa seseorang Ketua Menteri telah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN tidak semestinya melalui undi tidak percaya dalam sidang DUN tetapi cukup dengan bukti bahawa ia telah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN. Mahkamah Tinggi Sabah juga memutuskan bahawa kes Stephen Kalong Ningkan di Sarawak pada tahun 1966 tidak boleh dijadikan rujukan dalam kes ini kerana fakta dan keadaaannya yang berbeza. Ini kerana, dalam kes itu, Ketua Menteri Sarawak telah nyata kehilangan majoriti kepercayaan ahli-ahli DUN Sarawak.

Apa berlaku di Perak berbeza dengan Sarawak. Baginda Sultan Perak, nampaknya lebih mirip mengambil pendekatan kes Datuk Amir Kahar sebagai ikutan. Malah, Baginda Sultan Perak telah memanggil kesemua 28 ahli-ahli DUN dari BN dan 3 ahli-ahli DUN Bebas bagi menyakinkan bahawa kerajaan PR yang diterajui oleh Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin telah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN Perak (31BN+28PR). Justeru itu, Baginda Sultan Perak telah memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin hendaklah meletak jawatan. Pendekatan yang dibuat oleh Baginda Sultan Perak adalah selari dengan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Persoalan moral dua bekas ahli DUN dari PR (yang sedang menghadapi kes di mahkamah) yang memberi kepercayaan kepada BN adalah diluar dari perbincangan kerana ianya adalah sah dari segi undang-undang Perlembagaan Persekutuan mahupun Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Boleh dikatakan, dari segi moral tindakan lompat parti adalah salah tetapi dari segi politik dan undang-undang, ianya tidak salah. Ini kerana, dalam politik, apa yang mustahil semua boleh berlaku.

Insiden ini juga dapat dilihat di Kelantan pada tahun 1977, di mana Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Dato’ Nasir kalah dalam undi tidak percaya di DUN Kelantan. Akibatnya, Allahyarham mengadap Sultan Kelantan bagi memohon pembubaran DUN Kelantan. Namun ia ditolak oleh Sultan Kelantan. Keadaan menjadi kecoh dan huru hara sehingga atas nasihat Perdana Menteri, YDA mengisytihar darurat di Kelantan. Ini sekali lagi dapat menjelaskan peranan dan kedudukan YDA/Sultan-sultan yang mempunyai kuasa budibicara dalam perkara pembubaran Parlimen/DUN. Hak ini tidak perlu diikut walaupun dinasihat oleh Perdana Menteri/Menteri Besar. Ini adalah kuasa proragatif YDA/Sultan-sultan.

Persoalan seterusnya ialah tindakan Karpal Singh yang mahu menyaman Baginda Sultan Perak di atas tindakan Baginda melantik Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar sebagai tidak sah. Perlu dinyatakan bahawa tindakan YDA/Sultan-sultan atas kapasiti rasmi (official functions) tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah. Tindakan mahkamah hanya boleh dibuat atas kapasiti peribadi seperti mana yang telah dibuat ke atas pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1993 (Perkara 182, Perlembagaan Persekutuan). Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang boleh dibawa ke atas Perdana Menteri/Menteri Besar. Ini kerana, YDA/Sultan-sultan mempunyai kekebalan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 32 (1).

Jangan sama sekali kita lupa bahawa urusan perlantikan Perdana Menteri/Menteri Besar adalah di bawah kuasa YDA/Sultan-sultan (Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri). Walaupun perkara ini disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, secara konvensyen, seseorang individu yang dilantik terutamanya di peringkat negeri (Menteri Besar/Ketua Menteri) mestilah terlebih dahulu mendapat ’perkenan’ baginda Sultan. Ini dapat dilihat dalam tiga insiden luar biasa (perkara ini pernah berlaku sebelum ini di Sabah) yang berlaku setelah pilihanraya umum ke 12 berlangsung pada 8 Mac 2008 yang lalu. Apabila Raja Perlis tidak memberi perkenan baginda bagi perlantikan semula Dato’ Shahidan Kassim meskipun mendapat watikah dari Perdana Menteri, demi menjaga keharmonian dan hubungan baik antara negeri dan persekutuan, Dato’ Dr. Md. Isa Sabu telah dilantik oleh baginda. Ini berlaku setelah kompromi terhasil antara penyokong-penyokong Dato’ Seri Shahidan Kassim dan ’orang’ Raja Perlis. Akhirnya, Menteri Besar yang baru mendapat mandat majoriti dalam DUN Perlis.

Hal yang sama juga berlaku di Terengganu di mana ia menyaksikan Dato’ Seri Idris Jusoh tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar walaupun menang besar dalam pilihanraya umum ke 12. Yang di-Pertuan Agong (Sultan Terengganu) dikatakan tidak memberi perkenan baginda bagi perlantikannya semula. Sebagai ganti, Dato’ Ahmad Said dilantik oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu (MPPR) bagi jawatan Menteri Besar Terengganu yang baru. Di awalnya, ia mendapat bantahan dari majoriti ahli-ahli DUN Terengganu. Namun demi menjaga keharmonian dan ketenteraman, adun-adun tersebut memberi kepercayaan kepada Menteri Besar yang baru setelah Perdana Menteri yang pada awalnya juga mahukan Dato’ Idris Jusoh dilantik semula sebagai Menteri Besar ”mengalah”.

Di negeri Perak pula, keadaannya sedikit berbeza. Pilihanraya umum ke 12 menyaksikan Barisan Nasional tidak mendapat kerusi yang cukup bagi membentuk kerajaan negeri. DAP memenangi kerusi terbanyak namun tidak dapat membentuk kerajaan negeri. Melalui Pakatan Rakyat (PR), DAP berkerjasama dengan PAS dan PKR, kerajaan negeri baru dapat dibentuk di Perak. Namun yang menjadi persoalannya ialah siapa yang boleh menjadi Menteri Besar? Mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, jawatan Menteri Besar Perak hendaklah disandang oleh seorang Melayu yang secara otomatiknya menganut agama Islam. Kalau mengikut jumlah ahli-ahli PR dalam DUN Perak, wakil-wakil DAP yang mempunyai perwakilan yang ramai. Namun, Sultan Perak melantik Datuk’ Seri Ir. Nizar Jamaluddin dari PAS sebagai Menteri Besar walaupun PAS hanya mempunyai enam perwakilan dalam DUN Perak.

Kesimpulan

Sebagai Ketua Negeri Perak, Baginda Sultan Perak dilihat memain peranan penting dalam perpaduan di Negeri Perak. Baginda Sultan Perak tidak dilihat hanya memayungi orang-orang Melayu tetapi meliputi semua rakyat Perak tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan keturunan. Malah sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara, Bagainda lebih arif dalam hal ehwal perundangan termasuk dalam Undang-undang Perlembagaan. Baginda Sultan Perak telah menulis dan memutuskan beratus-ratus penghakiman semasa Baginda menjadi Ketua Hakim Negara. Tindakan yang dibuat oleh Baginda adalah selari dengan undang-undang. Maka, jika ada suara-suara yang mengatakan bahawa Baginda telah bertindak mengatasi undang-undang, mereka ini sebenarnya jahil mengenai Undang-undang Perlembagaan. Situasi politik tidak boleh mengatasi undang-undang terutamanya Undang-undang Tubuh Negeri Perak khasnya dan Perlembagaan Persekutuan amnya. Perkara 4(1) menyebut ”Perlembagaan ini merupakan undang-undang tertinggi negara, dan mana-mana undang-undang yang dibuat selepas merdeka yang menyalahi Perlembagaan Perseketuan akan terbatal setakat mana yang menyalahinya”.

Demi menjaga hak-hak asasi manusia, saya suka menyarankan bahawa saranan oleh Suruhanjaya Hak-hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya rakyat Perak diberi hak untuk memilih kembali kerajaan setelah insiden yang berlaku di Perak, harus difikir semasak-masaknya oleh pihak-pihak berwajib. Justeru itu, satu undang-undang anti lompat parti hendaklah dibuat supaya ahli-ahli Dewan Rakyat/DUN tidak ’berpaling tadah’. Ini kerana, Ahli-ahli Berhormat itu dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya, dan sewajarnya sekiranya beliau keluar parti, hak ini hendaklah diserah kembali kepada rakyat untuk memilih. Ini kerana, rakyat memilih parti untuk membentuk sebuah kerajaan.

Namun begitu, secara Undang-undang Perlembagaan, apa yang berlaku di Perak di mana Baginda Sultan Perak melantik Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar baru adalah selari dengan undang-undang. Ini kerana, hak perlantikan Menteri Besar terletak secara eksklusif di atas tangan Baginda. Baginda telah menjalankan tugas Baginda dengan bona fide setelah Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli DUN Perak meskipun undi tidak percaya kepadanya tidak dibuat. Baginda mengambil pendekatan kes Datuk Amir Kahar di Sabah pada tahun 1995. Ini juga bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa perlantikan Menteri Besar di negeri-negeri lain seperti Perlis, Terengganu dan juga di Perak pada Mac 2008.

No comments:

Post a Comment