Thursday, 26 March 2009

PERLUKAN SURAT TUNJUK SEBAB PENSYARAH YANG GAGAL PHD?

Saya terpanggil untuk memberi pandangan mengenai kenyataan oleh Prof. Dato’ Dr Gauth Jasmon, Naib Canselor, Universiti Malaya dan Datuk Idris Haron, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bahawa pensyarah yang gagal pengajian PhD akan diberi surat tunjuk sebab.

Kegagalan pensyarah dari universiti tempatan menghabiskan pengajian PhD mengikut jadual bukanlah satu perkara baru. Fenomena ini telah dirasakan oleh universiti tempatan buat sekian lamanya. Cuma Universiti Malaya semenjak Dato’ Rafiah Salim lagi cuba menguatkuasakan satu tindakan drastik, di mana pensyarah yang gagal menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun, diberikan surat tunjuk sebab. Ada rasional tindakan ini dibuat. Tetapi tidak semua pensyarah yang gagal menamatkan pengajian dalam tempoh tersebut sebenarnya ‘gagal’. Bagi sesetengah kes, ada yang mengambil masa sehingga 10 tahun.

Untuk maklumat pembaca sekalian, tempoh pengajian PhD di kebanyakan universiti di dunia adalah tiga tahun. Cuma dari segi ‘praktikalnya’, seseorang akan mengambil masa sekitar tiga hingga empat tahun pengajian. Namun, tidak pula kurangnya mereka yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun.

Sebenarnya, tempoh yang diambil oleh seseorang bagi mengikuti pengajian PhD banyak bergantung kepada pelajar, penyelia, persekitaran dan tidak kurang juga nasib. Kerana itu, penulis kurang bersetuju kalau surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada para pensyarah yang tidak dapat menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun justeru kerana faktor-faktor luaran, iaitu di luar dari bidang kuasanya.

Sebagai salah seorang yang telah berjaya mengikuti pengajian PhD, izinkan penulis berkongsi pengalaman bagaimana pahit maung nya penulis menamatkan pengajian dalam tempoh empat setengah tahun – bukan kerana faktor penulis. Penulis memulakan pengajian PhD dalam bidang undang-undang di Jabatan Undang-undang, School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London pada penghujung bulan Oktober 2001. Pengajian penulis berjalan lancar beberapa bulan, namun penulis jatuh sakit dan berlarutan sehingga beberapa bulan berikutnya. Namun, penulis gagah untuk mengikuti pengajian walaupun dalam keadaan yang tidak menentu. Adalah menjadi amalan di kebanyakan universiti di United Kingdom, pendaftaran awal pengajian bukan atas nama PhD tetapi atas nama M.Phil. Seseorang calon hanya akan ‘dinaikkan taraf’ dari M. Phil ke PhD dalam masa setahun hingga dua tahun. Terdapat juga sesetengah kes di mana ‘kenaikan’ taraf ini memakan masa sehingga tahun ketiga.

Dalam menilai kelayakan ‘naik taraf’ ini, pelbagai mekanisme diambil. Ini semua terpulang kepada universiti dan fakulti serta jabatan masing-masing. Ada yang mudah dan ada yang susah. Bagi penulis, amalan di Jabatan Undang-undang SOAS ialah dimestikan menyiapkan sekurang-kurangnya dua bab substantial di samping berjaya membentangkan kertas ‘naik taraf’ dalam seminar ‘naik taraf’ (upgrading seminar). Perakuan ‘kenaikan taraf’ ini akan dibuat oleh penyelia dan jawatankuasa yang terlibat. Penulis berjaya untuk ‘naik taraf’ ke PhD dalam tahun kedua.

Selepas berjaya untuk memindahkan pengajian dari M.Phil ke PhD, penulis kembali ke tanah air selama dua setengah bulan untuk kajian lapangan. Bayangkan dalam masa yang singkat penulis terpaksa menjelajah k seluruh negara untuk mendapat data dan dokumen-dokumen kajian. Ada yang berjaya dan ada yang gagal.

Setelah itu, kembali ke London menyambung kajian. Tiba-tiba, semasa tahun ketiga, penyelia penulis memaklumkan bahawa beliau akan berhijrah ke Kanada. Bayangkan perasaan penulis. Inilah salah satu perkara yang sentiasa didoakan oleh setiap calon PhD agar penyelia berkekalan sehingga tamat pengajian. Penyelia penulis mencadangkan rakannya dari jabatan yang sama bagi mengganti beliau. Pada tanggapan awal penulis, “habislah aku, kena mula semua balik”. Tetapi dengan kuasa Allah Maha Besar, penyelia pengganti sangat berpengalaman menyelia pengajian PhD di mana ramai yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Di antara calon-calon dari Malaysia ialah Datuk Dr. Nik Norzul Thani, Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang (UM) dan Prof. Dr. Ida Madiha (UIA). Memandangkan pertukaran penyelia berlaku pada tahun ketiga, ini sedikit sebanyak melambatkan pengajian. Bayangkan pertukaran penyelia berlaku semasa penulis hampir menyiapkan tesis PhD. Masih teringat dalam ingatan bilamana penulis memberi tesis yang hampir siap tersebut kepada penyelia. Beliau terpaksa mengambil masa enam bulan untuk meneliti secara terperinci tesis tersebut bab demi bab. Akhirnya, pada 7 Julai 2005, penulis diberi kebenaran oleh penyelia untuk menyerahkan tesis penulis untuk tujuan pemeriksaan luar dan dalaman. Oleh sebab duit elaun pun habis dan keluarga terpaksa pulang terlebih dahulu, penulis pun terpaksa kembali ke tanah air sebelum proses viva.

Tempoh penyerahan dan tarikh viva memakan masa yang agak panjang, walaupun sepatutnya dalam masa dua tiga bulan. Penulis terpaksa menunggu hampir 10 bulan untuk viva. Akhirnya, pada 10 Mei 2006, penulis berjaya dalam peperiksaan viva dan lulus pengajian PhD tanpa sebarang pindaan terhadap tesis yang ditulis.

Apa yang hendak penulis katakan di sini ialah tidak semua ‘kelewatan’ pengajian PhD berpunca dari penuntut itu sendiri. Apa yang berlaku pada penulis banyak berlaku ke atas penuntut-penuntut lain. Persoalannya, apakah penulis sepatutnya mendapat surat tunjuk sebab di atas kelewatan menamatkan pengajian PhD di mana ia di luar bidang kuasa penulis?

Seharusnya, pihak universiti membuat pemantauan berkala semasa pensyarah-pensyarah sedang cuti belajar PhD. Sekiranya terdapat laporan-laporan yang tidak memuaskan oleh penyelia, hendaklah diambil tindakan dengan segera. Kalau perlu, memanggil pulang pensyarah itu kalau ia belajar di luar negara atau menamatkan pengajiannya kalau belajar dalam negara. Pada tanggapan penulis, agak terlewat kalau sekiranya pihak universiti mengeluarkan surat tunjuk sebab selepas empat atau lima tahun pengajian berakhir dan didapati pensyarah-pensyarah terlibat masih tidak menamatkan pengajian dengan jayanya.

Dalam ruangan rencana bertarikh 14 April 2008 “Bukan Mudah Dapat PhD” yang disiarkan alam akhbar ini, penulis telah membincangkan bagaimana pahit maung untuk mendapat ijazah PhD.

Sesungguhnya, hasrat Kementerian Pengajian Tinggi yang mahu meningkatkan kualiti pensyarah-pensyarah di universiti tempatan dengan ‘memaksa’ mereka memperoleh PhD sangat dialu-alukan. Ini selari dengan salah satu objektif Kementerian Pengajian Tinggi yang mahukan 75% pensyarah universiti memiliki ijazah PhD. Sasaran ini bukan mudah hendak dicapai, lebih-lebih lagi dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab bagi mereka yang tidak menamatkan pengajian setelah empat hingga lima tahun. Ini mungkin akan menyebabkan para pensyarah enggan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD bimbang akan mendapat surat tunjuk sebab kalau tidak dapat menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun. Sekiranya, faktor-faktor di luar bidang kuasa yang menyebabkan kelewatan menamatkan pengajian, apakah ini adil kalau surat tunjuk sebab itu dikeluarkan?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir pensyarah yang tidak berniat untuk mendapat PhD tetapi memohon biasiswa bagi mendapat ‘cuti’ dari kerja-kerja harian di universiti. Mereka ini diberi biasiswa dengan gaji penuh ke luar negara tanpa ada langsung niat untuk belajar. Mereka inilah yang sepatutnya diberi surat tunjuk sebab dari awal-awal lagi, bukan setelah tempoh empat tahun pengajian. Seperti yang penulis sebut sebelum ini, pemantauan terhadap kemajuan pengajian PhD ada dibuat oleh universiti. Bagi tiga bulan pertama, calon-calon dikehendaki menghantar borang kemajuan pertama. Setelah itu, kemajuan pengajian hendaklah dihantar setiap enam bulan. Pada penghujung tahun pula laporan appraisal diperlukan bagi kenaikan gaji tahunan, yang semuanya berkait rapat dengan kemajuan pengajian PhD. Jadi, tindakan menarik balik atau menamatkan pengajian seharusnya boleh diambil dari awal-awal lagi.

Apa yang mendukacitakan ialah terdapat mereka yang memohon penambahan cuti belajar setelah tiga tahun tanpa menulis satu bab pun. Malah yang mengejutkan lagi, permohonan pelanjutan pengajian setelah tiga tahun tanpa kemajuan yang memuaskan diluluskan. Ini yang menjadi masalah terutama mereka yang belajar di luar negara seperti di United Kingdom. Tujuan mereka ke sana bukan untuk belajar tetapi bekerja. Pengajian menjadi sambilan, bukan lagi perkara utama. Maka, untuk mengatasi masalah kesempitan wang, kerajaan telah menaikkan kadar elaun-elaun pengajian di luar negara. Dengan jumlah elaun terbaru itu, kerajaan berharap mereka dapat menumpukan sepenuh masa kepada pengajian PhD tanpa bekerja sambilan.

Kerana itu, sebelum seseorang pensyarah ingin melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, mereka hendaklah membuat persiapan mental dan fizikal. Ini termasuk persiapan kajian yang akan dilakukan. Mereka hendaklah terlebih dahulu memotivasikan diri sendiri, memahirkan diri dalam bidang kajian, mencari penyelia yang berpengalaman dan ranking universiti/fakulti/jabatan di mana pengajian akan dibuat.

Di samping itu, pensyarah-pensyarah yang ingin melanjutkan pengajian ke PhD hendaklah merendahkan diri dan menganggap dirinya sebagai pelajar, bukan lagi sebagai pensyarah. Mereka hendaklah mengikuti semua kelas yang diadakan sama ada bersifat pilihan atau wajib. Para pensyarah hendaklah mengikuti kelas metodologi penyelidikan dan seminar-seminar yang berkaitan. Setiap pensyarah hendaklah membaca tesis-tesis PhD terdahulu. Pilih tesis-tesis yang terbaik. Di samping itu, anggaplah tahun pertama pengajian sebagai tahun yang paling mencabar, bukannya tahun berbulan madu (honeymoon). Pengurusan masa amatlah penting terutama mereka yang mempunyai keluarga. Sokongan moral dari suami/isteri dan keluarga amat penting.

Dalam tempoh pengajian, para pensyarah hendaklah mengamalkan amalan menulis ‘satu halaman satu hari’. Jangan terlalu perfectionist, sehingga menghantui untuk menulis. Jangan terlalu takut kepada kesilapan terutama dalam hal nahu apabila menulis dalam Bahasa Inggeris. Ia boleh diperbetulkan kemudian. Dalam tempoh pengajian juga, para pensyarah digalakkan membentang kertas kerja di konferensi/seminar, tetapi ini hanya digalakkan dalam tahun kedua dan ketiga. Di samping itu juga, para pensyarah digalakkan menulis makalah dan diterbitkan dalam jurnal berwasiat yang mempunyai impak tinggi. Ini dapat dilakukan dari kajian yang sedang dibuat.

Sebagai kesimpulan, adalah menjadi harapan kerajaan dan negara supaya mereka yang diberi cuti belajar dengan biasiswa dan bergaji penuh melaksanakan amanah yang ditugaskan. Pengajian PhD yang mengikut norma-norma biasa, lazimnya memakan masa sehingga empat tahun. Sekiranya para pensyarah yang gagal menulis walaupun satu bab dalam tesis setelah empat tahun pengajian tanpa alasan-alasan yang munasabah, sewajarnya surat tunjuk sebab dikeluarkan seawal yang mungkin. Tindakan menarik balik biasiswa dan menamatkan pengajian di peringkat yang lebih awal bukan sahaja menyelamatkan wang rakyat malah tenaga kerja di universiti. Meskipun begitu, kalau faktor-faktor kelewatan ini adalah di luar bidang kuasa para pensyarah seperti pertukaran dan masalah penyelia, mereka hendaklah diberi peluang menghabiskan pengajian secara sambilan setelah kembali bertugas di universiti tanpa perlu dikeluarkan surat tunjuk sebab dan tindakan susulan oleh universiti.

No comments:

Post a Comment